AGENDAJENAYAH

Sindiket seludup kanak-kanak Sri Lanka ke Eropah didalangi warga tempatan tumpas 

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Jabatan Imgresen menumpaskan sindiket penyeludupan kanak-kanak warga Sri Lanka ke Eropah menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA), dengan penahanan suami isteri warga tempatan di ibu negara, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata penyeludupan sindiket bergelar ‘Bahnu Internationals’ itu beroperasi dengan menggunakan ibu bapa rakyat Malaysia daripada keluarga miskin yang mempunyai anak di bawah usia 12 tahun, untuk memanipulasi maklumat diri kanak-kanak itu bagi mendapatkan pasport.

Beliau berkata sindiket itu akan memperdaya ibu bapa berkenaan supaya membawa sijil lahir anak mereka ke pejabat imigresen seolah-olah membuat PMA untuk anak sendiri.

“Namun semasa proses permohonan di kaunter Imigresen, kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur kanak-kanak itu akan dibawa ke hadapan kaunter bagi tujuan rakaman cap jari serta proses ambil gambar, dan bukannya anak keluarga miskin berkenaan.

“Setelah selesai, pasangan suami isteri yang mengetuai sindiket ini juga bertindak sebagai transporter dengan membawa kanak-kanak Sri Lanka yang memperolehi PMA ini ke negara Eropah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan ibu bapa warga tempatan yang membawa anak mereka kononnya untuk membuat pasport itu diberi ganjaran RM500.

Ruslin berkata berdasarkan siasatan awal mendapati sindiket itu menerima upah EUR 30,000 hingga EUR 50,000 bagi setiap seorang kanak-kanak Sri Lanka yang diuruskan permohonan PMA dan diiring ke negara Eropah.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti tempoh sindiket ini beroperasi dan berapa ramai kanak-kanak terlibat.

“Sindiket ini berjaya ditumpaskan semasa pasangan ini hadir ke Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan mendapatkan PMA bagi seorang kanak-kanak Sri Lanka,” katanya.

Beliau berkata penahanan pasangan terbabit merupakan hasil tindakan peka dan pantas pegawai imigresen di Bahagian Pasport yang menyedari serta mengesan terdapat keraguan dalam permohonan PMA kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya pihak imigresen telah mengambil tindakan lanjut dengan menemu bual kanak-kanak itu kerana mendapati ada perbezaan rupa paras yang ketara dengan penjaga serta gagal bertutur Bahasa Malaysia.

Ruslin berkata suami isteri yang masing-masing berumur 37 dan 26 tahun itu di dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 di Mahkamah Seksyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :