Bekas jurugambar akhbar Ahmad Irham Mohd Noor, 39, menolak kereta sorong berisi cili merah yang dipetiknya di kebun tanaman cili besar secara fertigasi seluas satu ekar yang diusahakannya di Dengkil pada 17 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sistem GeoTanaman langkah kerajaan rancang pengeluaran, atasi lambakan hasil tani

PUTRAJAYA, 28 APRIL: Sistem GeoTanaman telah dibangunkan Jabatan Pertanian sejak 2022 sebagai langkah jangka panjang bagi perancangan pengeluaran tanaman makanan dan mengatasi isu lambakan hasil pertanian, kata Ketua Pengarah Pertanian Datuk Zahimi Hassan.

Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan petani merancang penjadualan tanaman makanan mengikut pemintaan dan penawaran, selain membantu mengurangkan lambakan hasil dengan meluaskan ruang pasaran melalui padanan pasaran secara e-dagang melalui transaksi secara terus dengan pemborong.

Zahimi dalam kenyataan hari ini berkata jabatan itu mengambil maklum laporan mengenai pengusaha tanaman di Lojing, Kelantan dan Cameron Highlands, Pahang yang terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual, ekoran dakwaan terdapat lambakan bekalan sayur import.

Laporan itu mendakwa masalah itu berlaku apabila pengeluaran sayur tempatan meningkat selepas berakhir musim tengkujuh namun bekalan import didakwa masih dibawa masuk ke negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata isu lambakan sayuran akan diteliti kementeriannya dalam usaha melaksanakan langkah penyelesaian berkesan.

Zahimi berkata pihak yang terlibat dalam industri agromakanan terutamanya petani, pemborong dan pembekal input pertanian dimohon untuk mendaftar secara percuma bagi menyertai sistem GeoTanaman itu menerusi geotanaman.doa.gov.my

“Ia bagi memastikan ketersediaan input pertanian dan maklumat pengeluaran tanaman makanan dapat disediakan secara masa nyata dan seterusnya mampu mengatasi isu lambakan hasil tanaman,” katanya.

Zahimi berkata petani juga disarankan melaksanakan amalan pertanian baik dengan memohon Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan merancang penjadualan penanaman mengikut kehendak pasaran bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran dapat dihasilkan. – BERNAMA


Pengarang :