AGENDAJENAYAH

Suami terlanggar isteri sehingga maut ketika undur kereta

KULIM, 29 APRIL: Isteri maut selepas kereta dipandu suaminya terlanggar mangsa di Taman Selasih, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7 malam.

Beliau berkata, nahas membabitkan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu suami mangsa berusia 60-an dipercayai terlanggar pejalan kaki yang juga isterinya sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang parkir di hadapan rumah, lapor Berita Harian.

“Mangsa yang juga pejalan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika isteri mangsa keluar dari kereta kerana tertinggal barang di dalam rumah.

“Suami mangsa yang ketika itu mengundur kereta tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri dan terlanggar kereta yang parkir di hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Redzuan berkata, pemandu kereta Proton Saga itu tidak cedera manakala isterinya yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta itu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Pengarang :