HULU LANGAT, 6 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat Hulu Langat di Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota di sini hari ini.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Sultan Sharafuddin turut berkenan merasmikan Masjid At-Taqwa yang mula beroperasi sejak 6 Disember 2018 dengan kapasiti 3,000 jemaah pada satu-satu masa.
Dalam majlis sama, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 322 asnaf sekitar Hulu Langat terdiri daripada 91 fakir, 137 (miskin) dan 94 (mualaf) melibatkan peruntukan sebanyak RM161,000.
Baginda turut berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih bersama asnaf dan rakyat Hulu Langat di masjid berkenaan.
Majlis itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad.