DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebelum merasmikan Masjid Al Ma’arufiah Parit Baru Sungai Air Tawar Sabak Bernam pada 14 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan titah kukuh perpaduan, saling menghormati demi kemakmuran

SABAK BERNAM, 14 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan rakyat terus mengukuhkan perpaduan serta saling menghormati agar negara aman dan makmur.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, perpaduan amat penting bagi memastikan kemajuan dan pembangunan negara berjalan dengan sempurna.

“Beta mengingatkan kepada seluruh rakyat terutama di Selangor yang berbilang bangsa, keturunan dan agama ini supaya terus mengukuhkan perpaduan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan bersatu-padu agar negara terus aman dan makmur serta dapat menjalani kehidupan seharian dengan baik.

“Bagi umat Islam khususnya orang-orang Melayu, Beta berharap ambillah peluang di bulan yang mulia ini untuk mengukuhkan lagi silaturahim antara keluarga dan seluruh ummah.

“Beta mahu melihat orang Melayu lebih bersatu-padu serta bersemangat untuk maju dalam pelbagai aspek kehidupan bagi mengharungi arus kemajuan negara,” titah Baginda pada majlis perasmian Masjid Al-Ma’arufiah Parit Baru, Sungai Air Tawar di sini hari ini.

Baginda turut bertitah supaya sifat kesopanan dan kesusilaan terus dipupuk seiring semangat untuk mengejar kemajuan.

“Beta tidak mahu rakyat terlalu ghairah mengejar kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai murni yang ada pada bangsa kita,” titahnya.


Pengarang :