Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menunaikan solat selepas merasmikan Masjid Al Ma’arufiah Parit Baru Sungai Air Tawar Sabak Bernam pada 14 April 2023.Foto IHSAN ISTANA
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan titah rakyat mengundi pada PRN, tidak guna agama ketika kempen

SABAK BERNAM, 14 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah supaya rakyat keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadual pada Jun atau Julai depan.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, rakyat perlu menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang amanah, bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah.

“Beta juga mengingatkan semua pihak agar berhemah semasa berkempen dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Elakkan daripada perbuatan fitnah-memfitnah serta menyebarkan berita-berita palsu, menghasut rakyat untuk membenci terhadap mana-mana pihak atau pun mana-mana kerajaan ketika tempoh kempen pilihan raya diadakan,” titah Baginda pada majlis perasmian Masjid Al-Ma’arufiah Parit Baru, Sungai Air Tawar di sini hari ini.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tiga, kanan) diiringi DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kiri) pada majlis perasmian Masjid Al Ma’arufiah Parit Baru Sungai Air Tawar Sabak Bernam pada 14 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar semua pihak tidak menggunakan agama bagi tujuan politik kepartian dan berkempen secara beretika berteraskan undang-undang.

“Beta yakin sekiranya kempen dilakukan secara berhemah, rakyat akan menghormati orang-orang politik dan parti-parti politik yang bertanding serta berupaya memilih sebuah kerajaan yang bertanggungjawab demi kelangsungan kehidupan masyarakat di Selangor,” titahnya.

Awal Mac lalu, Dato’ Menteri Besar memberi bayangan kemungkinan PRN diadakan pada Julai atau selewat-lewatnya Ogos ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang harus bersedia bagi menghadapi pemilihan itu.


Pengarang :