Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng melihat Muhamad Mer Nullah Khan bermain papan selaju ketika melawat Laman Usj 1 Subang Jaya pada 6 April 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Taman papan selaju selesai dinaik taraf, sedia digunakan peminat sukan

SUBANG JAYA, 6 APRIL: Taman papan selaju di Laman Sukan USJ 1 di sini sedia digunakan orang ramai selepas selesai dinaik taraf bulan lalu dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata taman berusia lebih 20 tahun itu mengambil masa hampir lima bulan untuk ditambah baik dengan kos RM95,500.

Beliau menjelaskan kawasan riadah tersebut bukan hanya dikunjungi penduduk setempat, malah menjadi tumpuan peminat sukan papan selaju dari Petaling Jaya, Ampang dan Puchong.

Pemain papan seluncur Muhamad Mer Nullah Khan Mariss Khan, 13, bermain papan selaju di Laman Sukan USJ 1 Subang Jaya pada 6 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Pada November 2021, MSN meminta setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk kemukakan cadangan menaik taraf atau membina baharu infrastruktur sukan.

“Justeru, mengambil kira taman papan selaju ini sudah usang, saya ambil inisiatif untuk memohon kepada MSN dan Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya ditemui hari ini.

Dalam pada itu, Michelle memaklumkan penduduk pernah mengambil inisiatif sendiri dengan mengumpul dana untuk menyelenggara taman tersebut yang menjadi tumpuan ramai.

“Saya berharap taman ini dapat dimanfaatkan peminat sukan ekstrem tersebut, sekali gus menghindarkan belia daripada melakukan gejala negatif,” katanya.


Pengarang :