Kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kuala Lumpur pada 25 April 2023. Foto Facebook BALAI BOMBA SENTUL
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh di hadapan Akademi SPRM, 76 kakitangan dipindahkan

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Seramai 76 petugas pentadbiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin di sini berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sentul E Yogeswaran berkata lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.54 tengah hari.

“Terdapat tanah runtuh di hadapan pintu masuk akademi milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan. Keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

“Mangsa seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipindahkan ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata unit cerun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Jabatan Kerja Raya berada di lokasi untuk tindakan selanjutnya.

Berdasarkan maklumat awal pada masa ini, pergerakan tanah dilaporkan masih berlaku dipercayai akibat paip pecah.

– BERNAMA


Pengarang :