Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disembah maklum mengenai kaedah pembangunan Menara Merdeka 118 ketika lawatan ke tapak pembinaan Menara Merdeka 118 pada 17 April 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Amir Shah berkenan melawat tapak binaan Menara Merdeka 118

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 19 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan berangkat melawat tapak pembinaan Menara Merdeka 118 yang hampir siap di pusat bandaraya Kuala Lumpur, kelmarin.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah ke bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia pada ketinggian 678.9 meter itu diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Tengku Dato’ Ab Aziz Tengku Mahmud.

Turut mengiringi Baginda adalah Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Swasta dan Strategik Permodalan Nasional Berhad (PNB), Rizal Rickman Ramli.

Baginda turut dibawa melawat ke tingkat 116 yang akan menjadi dek observasi tertinggi di Asia Tenggara selain lawatan ke tapak restorasi Stadium Merdeka.

“Menara Merdeka 118 akan menjadi bangunan pertama di Malaysia yang mempunyai tiga akreditasi bangunan platinum hijau di peringkat tempatan dan antarabangsa, iaitu Indeks Bangunan Hijau (GBI), Hartanah Hijau (GreenRE) dan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED).

“Baginda menzahirkan rasa teruja dan kagum dengan kaedah pembangunan menara berkenaan, khususnya penelitian kepada usaha memulihara serta restorasi tapak bersejarah Stadium Merdeka di samping mengadaptasi pembangunan elemen moden, kemapanan dan mesra alam,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Menurut kenyataan itu PNB turut melaksanakan kerja pemuliharaan mengembalikan Stadium Merdeka kepada keadaan asalnya seperti pada 1957 dengan kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara (JWN).

Sebagai pemilik tunggal Stadium Merdeka dan Stadium Negara, PNB telah mengambil inisiatif mengekalkan kedua-dua stadium terbabit.


Pengarang :