Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke bazar Ramadan Stadium Shah Alam Seksyen 13, Shah Alam pada 3 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tengku Permaisuri cemar duli ke bazar Ramadan Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 3 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli ke bazar Ramadan di Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin yang mengenakan baju kurung berwarna hijau turut membawa mangkuk tingkat warna sedondon bagi menyahut kempen mengurangkan penggunaan plastik.

Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam membeli pelbagai juadah berbuka puasa selain beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar.

Peniaga kuetiau goreng, Zam Azmir Ngah Rashlin, 39, berkata beliau terkejut apabila Tengku Permaisuri Norashikin sudi mencemar duli ke gerainya.

“Terkejut saya tadi. Menggigil juga saya ketika mahu masak dan siapkan hidangan yang ditempah Baginda.

“Baginda turut bertanyakan beberapa perkara mengenai kuetiau goreng. Saya amat berbesar hati kerana dapat menyiapkan hidangan berbuka puasa untuk Baginda,” katanya.

Sementara itu, peniaga tauhu bergedel, Mohd Ikbal Samsiran, 26, berkata pada awalnya beliau tidak mengecam Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli ke gerainya.

Mohd Ikbal berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya menerima pembeli Diraja selepas hampir enam tahun berniaga makanan.

“Ini pertama kali saya terima pembeli istimewa. Baginda membeli dua set tauhu bergedel. Saya harap ia menepati selera Baginda,” katanya.


Pengarang :