AGENDANASIONAL

TH umum agihan untung 3.1 peratus, manfaatkan lebih 8.7 juta pendeposit

SHAH ALAM, 28 APRIL: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, dengan nilai RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022.

Menteri hal ehwal agama berkata agihan tersebut memanfaatkan lebih 8.7 juta pendeposit TH dengan jumlah keuntungan diagih sebanyak RM2.65 bilion, lapor Berita Harian.

“Agihan keuntungan ini kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi 2022 lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu 2.34 peratus.

“Agihan ini telah ditolak zakat berjumlah RM97 juta yang dilunaskan kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit TH,” kata Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar seperti dilaporkan portal itu.

Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di ibu kota hari ini, yang turut dihadiri
Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Dr Mohd Na’im menambah pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12 tengah hari esok menerusi pelbagai platform.

 


Pengarang :