Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil tindakan pantas selepas menerima aduan awam berhubung insiden permasalahan kualiti sumber air yang terjejas di Sungai Serdang, Kapar, Klang pada 12 April 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Tindakan pantas LUAS elak sumber air terjejas di Sungai Serdang

SHAH ALAM, 13 APRIL: Tiada kesan kepada bekalan air susulan sumber air terjejas di Sungai Serdang, Kapar, Klang petang semalam.

EXCO alam sekitar berkata tiada Loji Rawatan Air (LRA) berada di kawasan sungai berkenaan dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa peka dan pro-aktif dalam memastikan sumber air sentiasa terpelihara.

Hee Loy Sian berkata sejurus menerima aduan itu LUAS segera menjalankan siasatan di kawasan terbabit dan menemukan dua punca yang menyebabkan penurunan kualiti sumber air tersebut.

“Punca insiden pertama disyaki disebabkan terdapat sisa arang batu dari premis janakuasa elektrik yang mengalir ke dalam parit kawasan kampung seterusnya masuk ke Sungai Serdang.

“Siasatan LUAS mendapati aliran sisa arang batu itu berpunca daripada kebocoran di stesen janakuasa itu dan kerja pembaikan serta pembersihan sisa arang sudah dilakukan pemilik stesen, tiada lagi aliran tercemar dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil sampel air selepas menerima aduan berhubung insiden sumber air terjejas di Sungai Serdang, Kapar, Klang pada 12 April 2023. Foto Facebook LUAS

Beliau berkata Luas turut menjalankan siasatan di kawasan berhampiran dan menemukan aliran air berwarna putih memasuki Sungai Serdang.

Katanya LUAS menjejaki punca aliran air itu dan mendapati ia disebabkan pembuangan sisa minyak sawit dipercayai dibuang secara haram oleh individu dengan sebuah lori tangki.

“LUAS sudah mengambil sampel dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa lanjut.

“LUAS juga telah menyelaraskan tindakan lanjut bersama Pejabat Tanah dan Tanah (PDT) Klang serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi semakan dan verifikasi berkaitan status pemilik tanah serta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berkaitan sisa yang dibuang secara haram untuk tujuan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai melaporkan segera aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air supaya insiden air tercemar dapat dielakkan.


Pengarang :