SHAH ALAM, 30 APRIL: Umat Islam berpeluang menyemak dan menentukan semula arah kiblat berikutan kedudukan matahari menghala ke Kaabah petang ini.
Jabatan Mufti Negeri Selangor memaklumkan bayang matahari searah kiblat bagi negeri ini diramal berlaku jam 3.16 petang waktu tempatan.
“Antara tatacara mendapatkan kiblat menggunakan kaedah ini adalah memastikan merujuk kepada waktu yang tepat berdasarkan waktu piawai Malaysia.
“Gunakan objek yang diyakini tegak (90 darjah) dan lurus seperti tingkap, pintu atau benang yang diikat batu pemberat (ladung),” katanya di Facebook.
Menurut jabatan itu lagi, bayang yang terhasil daripada objek tersebut akan menunjukkan ke arah kiblat.
“Insya-Allah, arah kiblat adalah bermula dari arah jatuhnya bayang tiang ke arah tiang dalam keadaan menghadap matahari.
“Tandakan garis bayang yang terhasil sebagai arah kiblat,” katanya.