EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berucap ketika Majlis sambutan Hari Kesedaran Autisme pringkat Selangor dan Pelancaran Buku Setengah Dekad : 5 Tahun Anis di KPJ Klang Specialist Hospital, Klang pada 2 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Walau percuma, peserta Selangor Saring dikesan tidak hadir rawatan lanjut

KLANG, 3 APRIL: Meskipun menyediakan rawatan susulan percuma, kebanyakan peserta Selangor Saring yang dikesan mempunyai beberapa penyakit tidak hadir mendapatkan khidmat tersebut.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri kini mengambil langkah meneliti penyebab golongan itu yang enggan hadir ke Klinik Selcare.

“Individu yang menjalani saringan konsisten dan ada yang keputusannya kolestrol tinggi. Semua dapat kesan awal tetapi bila dimaklumkan perlu berjumpa doktor menerusi mesej mereka tidak hadir.

“Kadar yang mengambil peluang untuk berjumpa doktor kurang. Susulan itu, kita sedang buat kajian mengapa mereka tidak hadir sama ada jarak klinik jauh atau mempunyai sebab lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmi sambutan Hari Kesedaran Autisme peringkat Selangor di KPJ Klang Specialist Hospital semalam. Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada pemenang pertandingan video tiktok ketika Majlis sambutan Hari Kesedaran Autisme pringkat Selangor dan Pelancaran Buku Setengah Dekad : 5 Tahun Anis di KPJ Klang Specialist Hospital, Klang pada 2 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperkenal Selangor Saring dari Mei hingga September melibatkan peruntukan RM3.4 juta bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal.

Menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat, program itu berjaya memanfaat lebih 45,000 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan 4,809 individu disaran mendapat rawatan lanjut.

Selain saringan fizikal, saringan berkenaan turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan Selangor Saring di setiap penganjuran JKSP dan pada fasa ini beberapa saringan lain ditambah antaranya pemeriksaan gigi, telinga dan mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :