BUDAYARENCANA

Yang bertebaran dan melingkar dalam Imaginur

Oleh Azrie Izham Hamzah

 

Bagaimana rupanya ingatan? Bagaimana pula rupanya lupa?

Inilah persoalan yang tiba-tiba muncul ketika saya membiarkan mata mengekor setiap teks yang terpapar pada kredit akhir Imaginur (2023) arahan Nik Amir Nik Mustapha. Kredit akhir tamat, lampu pawagam dinyalakan sepenuhnya. Saya bersama beberapa audiens lain, tidak berganjak. Ada yang bertanyakan teman tentang hal-hal yang mungkin mengelirukan, ada juga yang sekadar termenung dan berfikir; seperti saya.
Bagaimana rupanya ingatan dan lupa? Adakah ingatan dan lupa bertebaran seperti kawanan pepatung di padang rumput? Adakah ingatan berupa gegelung yang melingkar dan berputar pada satu paksi? Adakah ingatan sifatnya nyata (absolute) dan boleh disimpan di dalam folder atau Google Drive? Bagaimana pula jika ingatan itu hilang? Apakah pilihan yang kita ada untuk menemukan ingatan ini semula?

Persoalan-persoalan ini muncul ketika penonton diperkenalkan dengan watak Zuhal (Beto Kusyairi), seorang penulis iklan yang bergelut dengan ingatan yang bercampur baur dengan trauma dan kenangan indah di sepanjang hidupnya.

Ingatan dan lupa 

“Fokus pada titik tengah. – Dr. Ramli.”

Robert L. Solso yang menulis perihal memori dalam Cognitive Psychology menyatakan bahawa ingatan adalah proses mental yang melibatkan penerimaan (encoding), penyimpanan (storage) dan dapatan kembali (retrieval) maklumat, pengetahuan, yang terpusat pada otak manusia.

Kehidupan Zuhal, digambarkan sebagai individu biasa yang memproses maklumat untuk disimpan sebagai ingatan. Namun, disebabkan beberapa siri trauma yang dihadapinya telah mencetuskan gejala yang menyukarkan Zuhal untuk mengembalikan semula ingatannya. Kegagalan untuk mengingat kembali satu maklumat dengan tepat seringkali kita sebut sebagai lupa. Situasi meruncing apabila gejala lupa mengganggu rutin harian dan kerjaya. Zuhal bukan saja terlupa untuk membeli barangan yang dipesan oleh adiknya, Isma, malah ‘terlupa’ untuk membawa pulang bapanya (Mior Hashim Manap) yang turut bersama ke pasar raya.

Gejala lupa Zuhal tidak terhad kepada hal-hal jangka masa pendek (short term). Zuhal turut berdepan dengan kemerosotan berterusan untuk mengingat kembali status hubungannya dengan seorang wanita bernama Nur (Diana Danielle). Turut menjadi tanda tanya buat Zuhal, kondisi kesihatan bapanya. Gejala ini telah mengganggu emosi, tingkah laku dan keupayaan Zuhal dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang penghidap Alzheimer.

Yang bertebaran dan melingkar 

“Maaflah, siaran ulangan.”- Zuhal.

Imaginur tidak linear. Penceritaannya tidak mengikut aturan sebab-akibat konvensional. Seperti ingatan Zuhal yang bertebaran, melingkar dan berulang-ulang, beginilah filem ini disusun. Kata Dr. Ramli (Afdlin Shauki), Zuhal tersekat dalam insiden pencetus atau triggered event yang mencetuskan trauma. Terdapat beberapa siri trauma yang dihadapi Zuhal;

Pertama, Zuhal terpaksa berdepan trauma setelah putus tunang dengan kekasihnya, Yazmin (Ruzana Ibrahim). Zuhal tidak dapat menerima hakikat Yazmin sudah membina hubungan baharu. Zuhal hanya dapat melupakan Yazmin, setelah Nur muncul dalam hidupnya.

Kedua, ingatan Zuhal tentang kematian bapanya juga telah mencetuskan trauma berterusan. Ingatan tentang momen Zuhal melayan dan berbual dengan bapanya bertebaran. Babak perbualan Zuhal dan bapanya di hospital menjelaskan betapa Zuhal berupaya mencipta ingatan palsu (false memory) kerana sedang berada pada fasa penafian tentang hakikat sebenar keadaan bapanya yang sedang terlantar dan akhirnya meninggal dunia.

Zuhal seterusnya berdepan dengan titik trauma yang lebih kritikal apabila perkahwinannya dengan Nur berdepan cabaran. Nur tiba-tiba ‘hilang’ setelah mengikat janji untuk sentiasa berada bersama Zuhal. Zuhal gagal memunculkan ingatan tentang hubungannya dengan Nur setelah berdepan dengan siri-siri trauma ini.

“Bang, sini tak boleh parking! Jalan-jalan.”- Pengawal keselamatan.

Seperti siaran ulangan televisyen, Zuhal berkali-kali disapa pengawal keselamatan yang sama. Ingatan nyata dan palsu Zuhal bertebaran, melingkar dan berulang-ulang. Setiap kali Zuhal ingin memandu kehidupannya ke depan, Zuhal terhalang oleh trauma yang masih berbekas. Akhirnya, Zuhal terkandas dan terpaksa memarkir ingatan di tempat yang tidak sepatutnya.

Mengembalikan ingatan yang bertebaran

“Bayangkan badan kau tengah cair, dalam minda kau, kau boleh terbang ke mana-mana saja…”- Dr. Ramli

Zuhal didiagnosis sebagai penghidap Alzheimer dan dirujuk kepada pakar hipnoterapi, Dr. Ramli.
Gunawan I.D ketika membincangkan tentang hipnosis dalam manual terbitan Indonesian Board of Hypnotherapy menyatakan bahawa hipnosis adalah satu keadaan berkaitan kesedaran manusia yang menuntut fokus dan perhatian supaya pesakit dapat bertindak balas terhadap cadangan yang diberikan sepanjang sesi hipnoterapi.

Dr. Ramli menawarkan sesi hipnosis forensik yang berperanan sebagai alat bantu untuk mengembalikan ingatan. Fikiran di bawah sedar Zuhal menyembunyikan informasi traumatik dan tidak dapat diakses oleh fikiran sedar dengan tujuan pengalaman-pengalaman buruk tidak lagi diingati. Dalam sesi ini, Dr. Ramli menerangkan pengalaman separa sedar Zuhal yang terpaksa berdepan dengan imej-imej yang muncul daripada ingatan nyata dan imej-imej relatif yang dicadangkan kepadanya.

Sebagai adik yang setia, Isma berkeras untuk meneruskan sesi hipnoterapi walaupun terdapat risiko kesan sampingan seperti menambah tekanan mental kepada Zuhal yang semakin lanjut usia. Isma tahu, ini bukanlah pengalaman pertama berdepan dengan penghidap Alzheimer setelah bapanya sendiri sebelum ini bergelut dengan penyakit serupa.

Bagaimana rupanya ingatan dan lupa?

“So, happy place you kat mana?” – Nur

Seperti cadangan-cadangan yang bertebaran dalam sesi hipnoterapi, Imaginur membingkaikan momen indah dan diimpikan penonton sebagai pengakhiran kisah Zuhal-Nur. Figura ini diperlihatkan sedang menikmati momen dilatari panorama tasik dan bukit yang cukup untuk mendamaikan resah dan merawat kesedihan. Adakah babak ini dicipta untuk menjawab persoalan tentang bagaimanakah rupanya ingatan dan lupa?

Ingatan itu rupanya seperti kotak-kotak yang tersusun kemas di pasar raya. Kotak itu kemudiannya bersepah dilanggar Zuhal yang tersungkur ditolak realiti yang terpaksa ditelan.

Barangkali ingatan itu berupa sebuah rumah-pejabat Hypnotika. Dua tingkat, lengkap dengan perabot dan sederhana. Tempat bermulanya pengembaraan Zuhal mencair dan pergi ke mana-mana sahaja yang diimpikannya. Namun, ketika Zuhal cuba melawat semula (revisit) rumah ingatan tersebut, segalanya hilang, kosong dan berselerak seperti telah lama ditinggalkan; inilah rupanya lupa.

Ingatan adalah sebuah stesen. Tempat menerima ketibaan dan melepaskan pergi. Ada ruang parkir khusus, ada juga ruang yang tidak dibenarkan parkir. Di stesen ini, Zuhal perlu membuat keputusan dengan sedar dan waras tentang hubungannya dengan Nur bukanlah persinggahan tetapi satu destinasi.

Ingatan juga mungkin bertebaran seperti pepatung di padang rumput yang indah. Kelibat kawanan pepatung ini tidak jelas tampaknya oleh mata kasar namun dengungnya kadangkala mengganggu tanpa merencatkan pandangan terhadap figura seorang wanita yang berdiri di padang rumput menghadap matahari di sebalik perbukitan.

Ternyata Imaginur memberi ruang untuk kita membayangkan sendiri bagaimana rupanya ingatan dan lupa menerusi imej-imej yang bertebaran di sepanjang penceritaan. Ingatan-ingatan pada akhirnya ini berhasil mencetuskan rasa.


Pengarang :