Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim mengetik kad perakam waktu kali terakhir di Menara MPAJ pada 28 April 2023. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

YDP MPAJ dilantik Datuk Bandar Subang Jaya mulai 2 Mei

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim ditukar ke Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebagai Datuk Bandar baharu berkuatkuasa 2 Mei ini.

Mohd Fauzi, 56, menamatkan tugas sebagai Yang Dipertua MPAJ semalam selepas lebih tiga tahun menerajui pihak berkuasa tempatan itu.

Majlis Lambaian Kasih sempena penamatan tugas dan pertukaran beliau ke tempat baharu diadakan kakitangan MPAJ semalam.

“Terima kasih atas tunjuk ajar dan perkongsian ilmu sepanjang di MPAJ. Pelbagai kejayaan telah dikecapi di peringkat daerah, kebangsaan mahu pun antarabangsa.


Kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengiringi Mohd Fauzi Mohd Yatim keluar dari Menara MPAJ pada 28 April 2023. Foto Facebook MPAJ

“Semoga ukhuwah kita berkekalan. Ingat kami di MPAJ dan selamat maju jaya,” tulis mereka di Facebook.

Mohd Fauzi yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Tanah dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) mula bertugas di MPAJ pada 2020.

Sebelum itu beliau yang berasal dari Terengganu bertugas sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (2019-2020), Pegawai Daerah Hulu Selangor (2015-2019) dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Gombak (2011-2015).

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Universiti Sains Malaysia dan Diploma Pengurusan Awam INTAN ini juga pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Korporat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Pengarang :