Foto Arkib SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ziarah raya berakhir tragedi, cucu lemas dalam kolam rumah datuk

IPOH, 26 APRIL: Ziarah Aidilfitri sepasang suami isteri ke rumah seorang ahli keluarga berakhir tragedi apabila anak perempuan mereka yang berusia setahun sembilan bulan maut akibat lemas di dalam kolam renang rumah datuknya di Tambun semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kejadian dipercayai berlaku pada 8.45 malam selepas bapa kanak-kanak tersebut menjumpai mangsa dalam keadaan terlentang dan terapung dalam kolam renang itu.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit bersama kedua-dua ibu bapanya masing-masing berusia 31 dan 33 tahun menziarahi ahli keluarga mereka di sebuah rumah lot yang dimiliki oleh datuk mangsa.

“Bapa mangsa kemudiannya menghantar mangsa ke sebuah hospital swasta namun telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian mangsa ialah akibat lemas.

Sehubungan itu, ibu bapa mangsa disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

“Justeru, pihak polis ingin memberi nasihat dan peringatan kepada orang awam khususnya ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan bagi mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :