AGENDAJENAYAH

10 kilogram tikus salai dirampas daripada penumpang Vietnam

BAYAN LEPAS, 18 MEI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan keluaran hasilan haiwan iaitu tikus salai tanpa kebenaran di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini semalam.

Pengarahnya Muhammad Ikram Abdul Talib berkata, pihaknya merampas 10 kilogram tikus salai tersebut yang bernilai RM1,000.

Menurutnya rampasan itu dilakukan hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Ia berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM dan pemeriksaan oleh pegawai Maqis di LTAPP.

“Hasilan haiwan iaitu tikus salai tersebut dijumpai semasa pemeriksaan bagasi terhadap seorang penumpang dari Vietnam. Kita merampas tikus salai berkenaan selepas mendapati ia dibawa masuk ke negara ini tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara,” katanya.


Pengarang :