Petugas pelbagai agensi Kerajaan membuat persiapan reruai mereka untuk majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

10,000 pengunjung dijangka meriahkan rumah terbuka Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 12 MEI: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di Dataran Tanah Lesen di sini, malam ini.

Yang dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berkata tetamu akan dihidangkan dengan pelbagai makanan daripada 38 reruai, termasuk makanan tradisi yang dimasak sendiri oleh penduduk menerusi program rewang.

Azman Dahlan berkata pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan nasi ambeng yang dihidangkan bersama masakan ayam semur, iaitu sejenis makanan seperti ayam percik yang menjadi identiti penduduk Sabak Bernam.

“Kita akan hidangkan 200 dulang nasi ambeng bersama ayam semur. Kalau mahu tahu rasa ayam semur, jemput datang ke majlis rumah terbuka malam ini.

“Selain itu, kita juga ada hidangan istimewa iaitu punten dan kuih lemper yang juga makanan tradisi di sini. Kedua-duanya dibuat sendiri oleh penduduk, dan akan dihidangkan sebagai pemanis mulut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau persiapan JKSA peringkat Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 1,000 penduduk dari 12 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di sini menjayakan program rewang sempena majlis rumah terbuka Kerajaan Negeri hari ini.

Program rewang tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan, selain menyembelih dua ekor lembu yang dimasak untuk hidangan malam ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dijangka menghadiri majlis rumah terbuka yang bermula dari 8 hingga 11 malam.


Pengarang :