Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad (tengah) berbincang dengan pemaju dan wakil penduduk di Kampung Koskan Tambahan, Serendah pada 3 Mei 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNSELANGOR

12 keluarga di Kampung Koskan dibantu dapatkan rumah sewa

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 3 MEI: Seramai 12 keluarga di Kampung Koskan Tambahan, Serendah yang diarah mahkamah mengosongkan kawasan itu hujung bulan lalu dibantu bagi mendapatkan rumah sewa.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata pihaknya turut mencapai kata sepakat dengan pemaju supaya pemindahan itu ditangguhkan kepada 11 Mei hingga rumah sewa ditemukan.

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad, perbincangan akan dibuat bersama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor bagi pembelian Rumah Selangorku seperti yang dinyatakan Dato’ Menteri Besar sebelum ini.

“Pemaju dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga bersetuju untuk memasang semula bekalan elektrik yang dipotong bagi memberi laluan perobohan enam buah rumah yang penghuninya telah berpindah.

“Sekiranya terdapat perubahan, pihak kami akan meminjamkan set generator untuk kegunaan 12 rumah keluarga terbabit,” katanya melalui Facebook hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pentadbiran negeri sedia menjadi perantara bagi memastikan masalah tersebut termasuk nasib penduduk kawasan itu diselesaikan dengan baik.

Pada 18 April, 12 keluarga di situ menerima notis pengosongan daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum 9 pagi pada 2 Mei berikutan permohonan pemaju Panca Resmi Sdn Bhd pada 30 Mac.

Jawatankuasa Bertindak Kampung Koskan Tambahan kemudian meminta Dato’ Menteri Besar untuk campur tangan bagi membela nasib mereka.


Pengarang :