PBTSELANGOR

1,981 kes denggi dicatatkan di kawasan MBPJ hingga 27 Mei

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 31 MEI: Sebanyak 121 kes demam denggi dicatatkan di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam tempoh seminggu dari 21 hingga 27 Mei lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata jumlah itu menjadikan kes keseluruhan demam denggi yang dicatatkan di kawasan MBPJ sejak Januari bertambah kepada 1,981 kes.

“Jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya (14 Mei hingga 20 Mei) yang mencatatkan 99 kes, terdapat peningkatan 22 kes demam denggi pada minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat MBPJ di Ibu Pejabat MBPJ semalam.

Menurutnya jumlah lokaliti bagi wabak itu turut meningkat daripada 42 lokaliti minggu sebelumnya kepada 49 lokaliti minggu lalu.

“Empat daripada 49 lokaliti tersebut merupakan hotspot wabak tersebut,” katanya.


Pengarang :