Pegawai khas ADN Meru, Norlena Nayan bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Jannah, Klang pada 2 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

2,000 baucar beli-belah DUN Meru diagih dalam masa terdekat

KLANG, 2 MEI: Sebanyak 2,000 baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru akan diedarkan dalam masa terdekat.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu kuota itu dipenuhi berikutan masih ada warga emas yang belum daftar.

“Kita mohon anak-anak bantu daftarkan nama ibu bapa mereka yang layak untuk menerima insentif ini, mereka boleh datang ke pusat khidmat masyarakat DUN Meru dengan membawa salinan kad pengenalan pemohon dan waris atau memohon secara dalam talian.

“Setakat ini tiada tarikh tutup, permohonan masih boleh dibuat dan syarat kelayakan juga boleh disemak menerusi laman sesawang SMUE,” katanya ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Meru di Masjid Nurul Jannah di sini hari ini.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.


Pengarang :