SHAH ALAM, 27 MEI: Seramai 3,500 peserta pelbagai kaum menyertai Larian Perpaduan di Taman Tasik Shah Alam di sini hari ini.
EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud berkata larian santai sejauh 5 kilometer itu diadakan sempena sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri.

“Kali ini giliran Selangor pula untuk menganjurkan Minggu Perpaduan seperti yang disaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Acara ini juga dapat menggalakkan semua kaum berbilang bangsa dan budaya mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas,” katanya kepada Selangorkini.
Selain acara larian, Minggu Perpaduan di Selangor turut diserikan dengan pelbagai program seperti persembahan kebudayaan, pameran agensi kerajaan, jualan produk, piknik perpaduan serta pelbagai lagi.

Sambutan Minggu Perpaduan merupakan salah satu inisiatif di bawah Kembara Perpaduan Malaysia Madani, yang akan disambut di seluruh negara pada minggu terakhir bulan Mei setiap tahun.
Minggu Perpaduan 2023, yang berlangsung dari 20 hingga 28 Mei, turut diadakan di 15 lokasi antaranya Dataran Bertam di Pulau Pinang, Dewan Masyarakat Papar di Sabah dan Dataran Tasik Kluang di Johor.