Pengunjung membeli barangan asas yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer pada 23 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

400 ayam, 300 papan telur habis kurang sejam di jualan Taman Templer

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 23 MEI: Sebanyak 400 ekor ayam dan 300 papan telur habis terjual dalam tempoh kurang sejam di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer hari ini.

Jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut membawa 300 barangan keperluan harian lain seperti beras, daging dan ikan selain 150 botol minyak masak.

Pengurus pentadbirannya berkata setiap pengunjung dibenat membeli dua ekor ayam dan dua papan telur memandangkan sekitar 200 orang yang hadir.

“Jarang terjadi kita benarkan pembelian telur lebih daripada sepapan untuk seorang pengunjung.

“Namun memandangkan jumlah pembeli tidak ramai seperti kebiasaan kita benarkan sekiranya ada permintaan,” kata Siti Aishah Mat Arif.

Tambah beliau jualan di Apartment Merak Taman Bukit Idaman Batu Caves di sini dihadiri pengunjung seawal 7.30 pagi dan ditutup sejam awal memandangkan semua barang habis dijual.

Penduduk membeli barangan keperluan pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer pada 23 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lalu.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :