Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 30 MEI: Seramai 50 belia menyertai kursus asas gunting rambut lelaki anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 28 Mei lalu.
Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata kursus sehari itu dilaksanakan bawah program Pemberdayaan Komuniti Daerah Klang.
“Kursus ini diadakan untuk membantu dan memberdaya komuniti di daerah Klang dalam mempelajari ilmu kemahiran dalam bidang gunting rambut.
“Ia secara tidak langsung dapat membantu komuniti yang ingin menjana pendapatan dalam bidang gunting rambut,” katanya.
Berucap dalam mesyuarat penuh bulanan di ibu pejabat MPK hari ini, Noraini berkata pembelajaran dilaksanakan secara teori dan praktikal oleh tiga tenaga pengajar dari Walter College.
Beliau berkata MPK turut mengesyorkan semua penganjuran program pemberdayaan komuniti diadakan di Plaza MPK sebagai Pusat Komuniti Warga Klang.