Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia membeli-belah barangan keperluan pada harga murah di padang Sekretariat PEPIAS, Kg Changkat Gombak pada 24 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.
ADNSELANGOR

500 ekor ayam habis dijual di jualan murah DUN Gombak Setia

Oleh Shamz Johan

GOMBAK, 23 MEI: Sebanyak 500 ekor ayam habis dijual dalam tempoh satu jam setengah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia hari ini.

Selain ayam, penolong pengurus operasinya berkata 300 ekor ikan dan 300 pek daging pejal juga habis dalam tempoh sama.

“Setiap kali JER kita buat, tumpuan pembeli pasti pada ayam, telur dan beras, barang-barang ini selalu sold out (habis) di semua tempat.

“Jadual program bagi bulan Jun sudah penuh, permintaan pejabat DUN untuk slot JER juga sangat tinggi, jadi kita akan penuhi permintaan,” kata Mohd Firdaus Masori ketika ditemui.

Program bermula pada jam 10 pagi itu rata-rata pengunjung adalah dalam kalangan suri rumah dan warga emas.

Kira-kira jam 11.30 pagi hanya beras, minyak dan telur yang masih berbaki pada program diadakan di padang berhadapan pejabat Sekretariat Pepias, Kampung Changkat, Gombak.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lalu.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :