Barang rampasan yang dipamerkan kepada pengamal media pada sidang media berkenaan kejayaan melumpuhkan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah melibatkan sindiket tempatan dan warganegara Vietnam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 11 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

62,132 individu ditahan kes dadah, lebih RM200 juta nilai rampasan

SHAH ALAM, 4 MEI: Seramai 62,132 individu ditahan atas kesalahan dadah dan racun melalui pelbagai operasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Individu itu diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (R&P) 1983.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM turut merampas 7,917 kilogram pelbagai jenis dadah dan 1,379 liter cecair dadah.

Selain itu JSJN merampas 31,856 kilogram daun ketum, 21,243 liter air ketum serta pokok ganja dengan nilai rampasan RM213 juta.

“Daripada jumlah individu yang ditahan, 128 orang ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Selain itu, 2,669 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Daripada jumlah itu 1,533 individu disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama,” katanya menerusi Facebook semalam.

JSJN berkata bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negara ini, pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM32.8 juta disita dan RM2.7 juta nilai harta dilucutkan hak.

Di samping itu 118 sindiket dadah terdiri daripada 366 orang diberkas dan empat makmal dadah haram dibongkar.

“Kita juga berjaya menahan empat ahli kimia susulan serbuan ke atas makmal dadah haram itu.

“Selain itu 188 penjawat awam ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah dengan empat daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya sambil menyatakan JSJN tidak berkompromi dengan penjawat awam yang terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah.

Sehubungan itu JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah menyalurkannya ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.


Pengarang :