Suasana hari ketiga sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 24 Mei 2023. Foto Facebook Parlimen Malaysia
AGENDANASIONAL

Ahli Parlimen Bangi, Shah Alam antara 12 anggota baharu jawatankuasa kira-kira wang negara

SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai 12 ahli parlimen dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Penggal Ke-15.

Pelantikan yang dibuat semalam itu melengkapkan 14 keanggotaan PAC dengan pengerusinya ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dilantik pada 4 April lalu.

Keanggotaan PAC Parlimen Penggal Ke-15 dianggotai sembilan ahli parlimen kerajaan dan lima ahli parlimen pembangkang.

Ahli PAC yang baru dilantik ialah Syahredzan Johan (Bangi), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Selain itu, Dr Richard Rapu (Betong), Azli Yusof (Shah Alam), Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Datuk Ali Biju (Saratok) dan Dr Halimah Ali (Kapar).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Dato’ Johari Abdul ketika memaklumkan mengenai pelantikan itu meminta semua ahli parlimen memberi kerjasama kepada keanggotaan baharu PAC berkenaan.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata semua 12 ahli yang dipilih mempunyai pelbagai latar belakang akademik dan profesional seperti doktor, peguam dan jurutera selain bidang pengurusan, media dan kewangan membuktikan kedudukan dan kredibiliti PAC sentiasa dipandang tinggi dalam kalangan ahli parlimen.

“Pengalaman ahli-ahli PAC termasuk saya yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan sudah pasti dapat menjadikan jawatankuasa itu lebih berwibawa serta dihormati dalam memastikan setiap laporan yang dibentangkan mempunyai impak kepada kerajaan.

“Pada masa sama, peranan PAC sebagai mekanisme semak dan imbang kepada Kerajaan terutama membabitkan dasar kewangan, perolehan serta tadbir urus kerajaan akan menjadi lebih kritikal,” katanya.


Pengarang :