Keluarga Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum berada di Jabatan Forensik Hospital Melaka pada 25 Mei 2023 selepas mangsa maut digilis lori. Foto Ihsan Meor Riduwan Meor Ahmad
AGENDAJENAYAH

Anak minta 20 sen beli aiskrim sebelum maut digilis lori

MELAKA, 26 MEI: Bapa kepada kanak-kanak yang maut digilis lori dalam kemalangan di sini semalam reda dengan kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Kejadian yang berlaku jam 5.25 petang menyebabkan Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum, 5, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Muhamad Qayyum Abdul Aziz yang bekerja sendiri berkata, sebelum kejadian mangsa datang kepadanya dan meminta 20 sen untuk membeli aiskrim sebelum berlalu pergi.

Namun menurutnya, beberapa minit kemudian dia terdengar kekecohan orang ramai dan segera berlari ke tempat kejadian, lapor Sinar Harian.

“Bila tiba di tempat kejadian saya lihat anak sudah dilanggar lori yang membawa muatan pasir,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka.


Keluarga Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum berada di Jabatan Forensik Hospital Melaka pada 25 Mei 2023 selepas mangsa maut digilis lori. Foto Ihsan Meor Riduwan Meor Ahmad

Menurutnya arwah yang mesra dipanggil adik kebiasaannya duduk sementara di rumah ibunya selepas pulang dari tadika, memandangkan dia juga sedang melakukan kerja kontraktor di sebuah rumah di kampung itu.

Katanya sejak kebelakangan ini anaknya yang disifatkan manja itu mudah merajuk sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.

Muhamad Qayyum dan isteri, Faezah Kadir, 38, berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi kerana memberi kesan kepada mereka sekeluarga terutama komen di media sosial.

Katanya, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang, Malim di sini tengah malam tadi.

Akhbar semalam melaporkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut digilis lori di Kampung Paya Mengkuang Batang Tiga di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, mangsa dipercayai bermain bersama saudaranya di kawasan berhampiran tempat kejadian.


Pengarang :