Kapal tangki MT Pablo yang berdaftar di Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50 peratus dalam kejadian 1 Mei lalu menyebabkan tiga kru kapalnya hilang. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

APMM minta bantuan Indonesia kesan tiga kru kapal hilang

JOHOR BAHRU, 5 MEI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Indonesia untuk mengesan tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang selepas kapal itu terbakar Isnin lalu.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata ia berikutan ada kemungkinan ketiga-tiga mangsa hanyut memasuki perairan Tanjung Pinang, Indonesia berdasarkan simulasi daripada Sistem Perancangan Optimal Mencari dan Menyelamat (Sarops).

“Pihak Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya untuk memohon bantuan daripada Basarnas,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau berkata setakat ini pencarian dalam kapal tangki itu belum dimulakan berikutan penilaian masih menunjukkan keadaan kapal tidak selamat untuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memulakan operasi pencarian.

Bagaimanapun beliau berkata kapal KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku Penyelaras di Tempat Kejadian (OSC) dan kapal MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia melakukan usaha semburan air di bahagian badan kapal tangki terbabit.

Nurul Hizam berkata pada masa sama usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua bot ronda milik APMM dengan keluasan sektor pencarian adalah 393 batu nautika persegi.

Ketiga-tiga kru kapal terbabit dikenal pasti sebagai warganegara India iaitu Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, manakala seorang lagi warga Ukraine iaitu Sabit Shenderovskyi, 37.

Kapal tangki MT Pablo berdaftar di Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50 peratus pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi pada 1 Mei lalu.

– BERNAMA


Pengarang :