Sebahagian jemaah mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah Musim Haji 1443H/2022M di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) pada 20 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bakal jemaah haji berpeluang lantik wasi, sedia wasiat serendah RM200

SHAH ALAM, 18 MEI: Bakal jemaah haji berpeluang menyediakan wasiat serendah RM200 menerusi promosi dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mulai 6 Mei hingga 25 Jun.

Menurut agensi itu tawaran dengan potongan harga RM100 itu bagi membolehkan bakal jemaah menyediakan pesanan pembahagian harta sebelum bermusafir menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Selain itu orang awam juga boleh menikmati kadar potongan harga penulisan wasiat ini. Promosi ini meliputi pelantikan wasi dan penyediaan wasiat lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mais melalui dokumen itu, pewasiat secara tidak langsung akan dapat melaksanakan kebajikan yang diinginkan selain membantu melunaskan hutang.

“Selain itu, ia juga dapat mengekalkan hubungan silaturrahim dalam keluarga termasuk mengelakkan harta pusaka beku.

“Mais akan melaksanakan pengurusan dan pembahagian wasiat dan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada benefisiari dan ahli waris,” katanya.

Permohonan wasiat boleh dibuat secara dalam talian menerusi siswa.mais.gov.my atau mengimbas kod QR (dalam poster).

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh menerusi www.mais.gov.my atau media sosial Facebook Majlis Agama Islam Selangor, Instagram iaitu mais_officialhq.

“Mais adalah badan berautoriti agama Islam Selangor untuk merancang dan membahagi harta melalui Subseksyen 5(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor 2003,” katanya.


Pengarang :