Anggota Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memasang pita kuning di tapak projek pembinaan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Desa Anggerik dan Desa Melor, Serendah pada 18 Mei 2023. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

Bangun tanah tanpa kebenaran, MPHS serbu tapak bina laluan ECRL

SHAH ALAM, 23 MEI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerbu tapak projek pembinaan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Desa Anggerik dan Desa Melor, Serendah pada 18 Mei lalu.

MPHS menerusi Facebook memaklumkan serbuan dibuat susulan syarikat berkenaan meneruskan pembangunan tanpa kebenaran meski pun sudah mendapat notis henti kerja.

“Antara aktiviti yang dilakukan di tapak adalah seperti mengorek, memotong tanah, membina bangunan tapak perkhemahan pekerja baharu dan pembinaan muka terowong laluan keluar Serendah di kawasan belakang Desa Anggerik.

“Semasa tiba di lokasi, anggota operasi mendapati kerja masih diteruskan walaupun notis untuk memberhentikan segala aktiviti di tapak berkenaan sudah keluar dan diserahkan kepada pengusaha tapak projek ECRL pada 8 dan 10 Mei lalu,” katanya.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita beberapa lori di tapak projek pembinaan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Desa Anggerik dan Desa Melor, Serendah pada 18 Mei 2023. Foto Facebook MPHS

Bagi mengelak tindakan sama berulang, MPHS memasang pita kuning di laluan utama ke tapak pembinaan sehingga pihak syarikat mematuhi syarat yang ditetapkan.

MPHS turut menyita 11 unit jentera dan kenderaan mengikut Seksyen 70(A)(1) dan seksyen 70(A)(11), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Operasi ini adalah susulan daripada aduan penduduk sekitar tapak pembinaan yang terkesan dengan aktiviti tersebut berikutan keluar masuk lori dan jentera yang menyebabkan kacau ganggu kepada aktiviti harian mereka,” katanya.


Pengarang :