Pengarah Perhutanan Negeri Selangor Azhar Ahmad menanam pokok kelat ketika lawatan delegasi Dialog Nasional Kemudahan Persekitaran Global (GEF) ke Pusat Kecemerlangan Hutan Paya Gambut Kompartment 73, Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor pada 10 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bantu cegah banjir, negeri pelihara 91,080 hektar hutan paya gambut

KUALA SELANGOR, 10 MEI: Selangor dianggap bertuah berikutan memiliki hutan paya gambut seluas 91,080 hektar membabitkan Hutan Simpan Raja Musa di sini dan Hutan Simpan Kuala Langat.

Berikutan itu, pengarah perhutanan negeri berkata usaha memulihara dan memeliharanya dipergiat bagi mengimbangi musim kemarau selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air dan mencegah banjir.

“Jika musim hujan bantu kawasan sekitar supaya tidak dilimpahi air lebih manakala kalau kemarau akan bantu mengimbangi paras air,” kata Azhar Ahmad ditemui hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama 80 delegasi daripada pelbagai agensi termasuk luar negara menyertai sesi lawatan di Hutan Simpan Raja Musa bagi menyebar luas usaha memelihara kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan proses pendengaran awam turut diadakan bagi mengelak penyahwartaaan hutan selain memiliki rancangan pengurusan dengan kerjasama pentadbiran negeri.

“Selain itu, kita turut gunakan kaedah perigi bawah tanah kerana ia aspek penting untuk menyokong hidrologi hutan paya gambut di sini,” katanya lagi.

 


Pengarang :