EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (tengah) bersama tetamu jemputan menaiki bas dua tingkat selepas majlis pelancaran bas pelancongan Selangor Hop-On Hop-Off (HOHO) di IOI City Mall, Putrajaya pada 20 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bas dua tingkat bawa pelancong ke 13 destinasi di Sepang mulai Jun

Oleh Shamz Johan

SEPANG, 20 MEI: Tourism Selangor melancarkan perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) melibatkan laluan di lebih 13 destinasi sekitar daerah Sepang mulai awal Jun ini.

EXCO pelancongan berkata perkhidmatan bas tersebut mampu menarik ramai pelancong termasuk pengembara antarabangsa ketika transit dalam tempoh yang lama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

“Bas HOHO Selangor akan beroperasi pada waktu percubaan `pilot test’ bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam. Sebanyak enam trip perjalanan dengan anggaran masa 90 minit bagi satu trip,” kata Hee Loy Sian.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran bas berkenaan di ruang legar Symphony 3, IOI City Mall, Putrajaya hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abdul Hamid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berucap pada Majlis Pelancaran bas pelancongan Selangor Hop-On Hop-Off (HOHO) di IOI City Mall, Putrajaya pada 20 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Menurut Loy Sian, perkhidmatan itu dapat meningkatkan jumlah pelancong ke Sepang selain meningkatkan ekonomi setempat dan memberi peluang pendapatan kepada operator pelancongan yang mengambil bahagian.

“Kita sasar 75 peratus tempahan pada enam bulan pertama (fasa 1) dan kita juga ingin menggalakkan lebih banyak penglibatan agensi dan penggiat industri pelancongan untuk menyokong inisiatif seperti ini,” katanya.

Laluan bagi Lingkaran-1 Sungai Pelek melibatkan lapan destinasi iaitu Sama-Sama Hotel, Tune Hotel, Sepang International Circuit (SIC), HL Dragon Fruit Eco Farm, Pekan Sungai Pelek, Banghuris Homestay, Jeti Sirip Biru dan Avani Sepang Goldcoast Resort pada setiap Sabtu.

Manakala Lingkaran ke-2 iaitu Cyberjaya/Salak Tinggi pula adalah Sama-Sama Hotel, Tune Hotel, Mitsui Outlet Park, BBST Walk, Xiamen University Malaysia, Farm Fresh UPM dan Symphony 3 IOI City Mall pada setiap Ahad.

Harga tiket bagi perjalanan sehari ialah RM50 bagi dewasa diikuti kanak-kanak, warga emas dan pelajar IPTA/IPTS (RM40), bukan warganegara dewasa (RM80), kanak-kanak, warga emas dan pelajar antarabangsa (RM70).

Bagi pakej keluarga (dua dewasa, dua kanak-kanak) turut disediakan dengan tawaran diskaun RM12 daripada harga tiket individu.

Orang ramai boleh membuat pembelian tiket melalui laman sesawang http://www.hohoselangor.com atau http://www.selangor.travel dan aplikasi Go Selangor. Ia juga boleh dibeli secara terus dari lokasi berlepas di sepanjang lingkaran perjalanan.


Pengarang :