Pihak MPAJ dan PlanMalaysia meneliti peta lot pertanian berhampiran jalan keluar masuk Bukit Tabur, Gombak pada 8 Mei 2023. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

Bina struktur tanpa kelulusan, MPAJ keluar notis kepada pemilik tanah

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 9 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan notis kepada pemilik lot tanah pertanian kerana mendirikan struktur tanpa kelulusan berhampiran Bukit Tabur dan Permatang Kuarza, Gombak.

Pengarah Jabatan Korporat dan Teknologi Maklumat Rosliza Mohd berkata tindakan lanjut akan diambil jika pemilik masih ingkar serta gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Ia susulan aduan berhubung pembangunan dan kerja tanah membabitkan tanah pertanian, mendirikan struktur dan pemotongan tanah tanpa kelulusan.

“Jika masih ingkar arahan pemberhentian kerja, kompaun boleh dikenakan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan. Pemilik juga boleh dihadap ke mahkamah di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa,” katanya kepada Selangorkini.

Jelasnya lagi, MPAJ dalam proses menyediakan kertas pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan garis panduan aktiviti yang dibenarkan di atas lot-lot pertanian berhampiran Bukit Tabur.

Garis panduan ini juga meliputi kajian kesesuaian jalan keluar masuk bagi menghubungkan lot-lot berkenaan yang sedang diusahakan bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Selangor bagi mengenal pasti potensi pembinaan jalan berdasarkan faktor muka bumi yang bercerun.

Semalam, lawatan bersepadu diadakan melibatkan Jabatan Perancang Bandar MPAJ bersama Bahagian Perundangan dan Kawal Selia Perancangan, PlanMalaysia ke beberapa lot pertanian berhampiran Bukit Tabur dan Permatang Kuarza.


Pengarang :