Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu kereta Toyota Vios milik keluarga sehingga kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi pada 9 Mei 2023. Foto Youtube Muhammad Izwan
AGENDAJENAYAH

Budak lelaki enam tahun pandu kereta terlibat kemalangan

LANGKAWI, 10 MEI: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikesan memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan di Jalan Bukit Tangga di sini, malam tadi.

Kanak-kanak itu dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai, membeli mainan.

Video kemalangan terbabit tular tengah malam tadi, orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan itu dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan kejadian dalam video tular itu yang berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang jam 11.15 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kereta berkenaan dilaporkan dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun manakala adik lelakinya berusia tiga tahun menjadi penumpang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kampung Ulu Melaka menghala ke Kampung Nyiur Chabang terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Chanwang.

“Susulan itu, pemandu kereta luka di dahi manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shariman berkata, kereta itu dipercayai dipandu kanak-kanak terbabit dari kediaman mereka di Kampung Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka sejauh 2.5 kilometer tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.


Pengarang :