Orang ramai mengambil peluang mendaftar untuk mengikuti kursus asuhan kanak-kanak percuma di reruai Sekretariat Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) ketika Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Seksyen 7, Kota Damansara pada 18 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Buka kaunter daftar kursus asuhan percuma di jualan murah DUN Kota Damansara

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 18 MEI: Sekretariat Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) membuka reruai bagi mempromosi inisiatif berkenaan pada Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Seksyen 7 Kota Damansara di sini, hari ini.

Wakilnya Muhammad Safuan Alias berkata kaunter prapendaftaran turut dibuka bagi memudahkan pengunjung jualan murah yang bekerja sebagai pengasuh mengikuti kursus latihan asuhan kanak-kanak secara percuma.

Sekretariat IMPAK Selangor Muhammad Safuan Alias. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Kita ambil peluang buka reruai pada program jualan murah kerana kumpulan sasaran adalah ibu bapa.

“Kita dekati pengunjung dan tanya sama ada anak mereka dihantar kepada pengasuh atau menjaga sendiri. Dengan cara ini kita dapat kumpul data.

“Nenek yang menjaga cucu juga dikira sebagai pengasuh kerana objektif utama supaya mereka dapat tauliah (sijil) selepas ikuti kursus kendalian IMPAK Selangor,” katanya.

Kurang sejam reruai beroperasi, Muhammad Safuan berkata pihaknya berjaya mendapatkan maklumat daripada 25 pengunjung yang menjadi pengasuh dari rumah.

“Sambutan amat menggalakkan, di sini kami dapat kumpul data paling ramai berbanding ditempat lain hanya 13 pengasuh dan paling sikit tiga orang.

“Kita sasarkan penyertaan 50-70 pengasuh dari setiap Dewan Undangan Negeri untuk ikuti kursus percuma ini bersama IMPAK Selangor,” katanya.

Pada 25 November lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sebanyak RM4.6 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program IMPAK Selangor dengan jangkaan hampir 4,000 pusat asuhan dan 40,000 keluarga menerima manfaat.

Program IMPAK Selangor merupakan sebahagian daripada sokongan Kerajaan Negeri kepada golongan wanita berkerjaya yang memerlukan bantuan daripada segi penjagaan anak-anak.

Menerusi insentif terbabit inisiatif penjagaan awal kanak-kanak turut ditambah baik dengan mendaftarkan pengasuh dan penjaga tidak berdaftar terutama pengasuh kanak-kanak di rumah yang boleh diakses melalui sistem data pengasuh berpusat.

IMPAK Selangor turut menyediakan program latihan secara percuma bagi memastikan lebih ramai pengasuh kanak-kanak berdaftar dan terlatih sekali gus mewujudkan ekosistem serta hala tuju industri jagaan.


Pengarang :