Suasana sekitar dengan kehadiran orang ramai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buku riwayat hidup al-Ghazali, kisah zaman Jepun dapat sambutan hangat di PBAKL

SHAH ALAM, 29 MEI: Buku kisah hidup ulama tersohor Imam al-Ghazali dan Tanpa Ampun: Tiga tahun diburu Jepun di Rimba Malaya antara buku paling laris di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Dua karya terjemahan itu antara lima naskhah terbaharu yang menjadi pilihan pengunjung, selain perjalanan politik Tun Dr Mahathir Mohamad karangan Barry Wain.

“Buku Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat (karya Michael Pillsbury), Gelagat & Ragam Orang Melayu (Frank Swettenham) dan Apa itu Tasawuf (Martin Lings) juga popular,” menurut kenyataan di Facebook IBDE hari ini.

Pengunjung tidak melepaskan peluang menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sempena musim cuti sekolah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semua karya itu boleh didapati di reruai IBDE di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) antara jam 10 pagi hingga 10 malam di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur 26 Mei hingga 4 Jun.

Karya berjudul Imam al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuan Ulung karangan profesor terkenal W Montgomery Watt menyentuh latar belakang politik dan ilmu zaman al-Ghazali sehingga beliau muncul tokoh ulama.

Catatan pengalaman diburu Jepun pula terjemahan The Jungle is Neutral karang F Spencer Chapman, komando Inggeris yang melawan askar Negara Mahathir Terbit antara 1941 hingga 1945.

Sementara Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora karya bekas editor berpengalaman itu menceritakan perjalanan politik bekas perdana menteri keempat selama 22 tahun, termasuk pembabitan awal berpolitik.

Naskhah itu mengupas kerjaya Mahathir yang dianggap penuh kontroversi seperti pertembungan dengan badan kehakiman, pengharaman Umno pada 1988 dan projek ekonomi yang merugikan.

Terjemahan karya-karya ini diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd. IBDE sebelum ini bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Suasana sekitar dengan kehadiran orang ramai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :