Lee Chong Wei (kiri) dan Lin Dan dimasyhur dalam Badminton Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam Majlis Makan Malam Gala BWF pada 26 Mei 2023. Foto Facebook Hannah Yeoh
AGENDASUKANKINI

Chong Wei cadang kejohanan dunia tumpu kualiti bukan kuantiti

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei mencadangkan supaya sebarang kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada masa depan memberi fokus kepada kualiti dengan tawaran hadiah lebih lumayan berbanding kuantiti.

Chong Wei yang disenarai dalam Badminton Hall of Fame BWF berpandangan jadual kejohanan anjuran badan badminton dunia itu begitu padat ketika ini, sehingga memberi kesan negatif kepada prestasi pemain di seluruh dunia.

Beliau berkata cadangannya itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh BWF jika badan itu mahu melahirkan pemain berkualiti dan berprestasi tinggi, contohnya sukan tenis.

“..mungkin mereka (BWF) perlu menukar format mata perlawanan, sistem atau menaikkan jumlah wang kemenangan. Mungkin juga mengurangkan beberapa kejohanan dalam tempoh setahun dengan memberikan tumpuan kepada kejohanan lebih berkualiti, seperti tenis misalnya yang ada enam kejohanan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai perkara yang perlu dilakukan BWF sekiranya ingin melahirkan pemain berkualiti seperti beliau dan Lin Dan.

Chong Wei berkata penarikan diri pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen daripada kejohanan Masters Malaysia kerana belum sempat sembuh daripada kecederaan hamstring di Piala Sudirman baru-baru ini serta pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia yang tewas pusingan kedua Masters Malaysia kerana kurang sihat, sepatutnya dijadikan ikhtibar oleh BWF.

Semalam, Chong Wei dan Lin Dan dimasyhurkan dalam Badminton Hall of Fame BWF atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap dunia sukan badminton dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka.

Penguasaan Chong Wei dan Lin Dan dalam arena badminton menyaksikan mereka bertanding sesama sendiri dalam lima perlawanan akhir di temasya Sukan Olimpik dan 10 Kejohanan Dunia.

-BERNAMA


Pengarang :