Pemandangan dari atas Pusat Kecemerlangan Hutan Paya Gambut Kompartment 73, Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor ketika tinjauan pada 10 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cuaca kering, penguat kuasa pantau rapi kawasan hutan mudah terbakar

KUALA SELANGOR, 10 MEI: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memantau rapi kawasan hutan yang mudah dan sering terbakar berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Pengarahnya Azhar Ahmad berkata sistem analisis data kawasan panas menjadi rujukan pihaknya bagi pemantauan bersepadu untuk mengesan kemungkinan berlaku kebakaran akibat cuaca ekstrem.

Beliau turut mengarahkan pasukannya bersiap sedia di kawasan titik panas selain menggunakan khidmat dron sekiranya lokasi tersebut terlalu jauh.

“Apabila maklumat diterima kita akan buat pemantauan dan rondaan ke lapangan mengikut kawasan yang dinyatakan,” katanya ditemui pada sesi lawatan tapak delegasi Dialog Kebangsaan Global Environment Facility Cycle-8 (GEF-8) di Hutan Simpan Raja Musa di sini, hari ini.

Seramai 80 delegasi daripada pelbagai agensi termasuk luar negara menyertai sesi lawatan berkenaan bagi menyebarluas usaha memulihara dan memelihara hutan paya gambut di negeri ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laporannya menjangka kebarangkalian berlaku El Nino sekitar 57 peratus antara Jun hingga September dan meningkat kepada 62 peratus (September hingga November).

Fenomena itu berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus menyebabkan sistem iklim berubah kepada panas dan kering serta kurang taburan hujan.

 


Pengarang :