Warga kota membanjiri Pasar Basah Chow Kit, Kuala Lumpur bagi mendapatkan barangan keperluan asas sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada tinjauan Bernama hari ini. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Cuaca panas: Bekalan barangan keperluan harian tidak terjejas

SUNGAI PETANI, 8 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan cuaca panas yang melanda negara ketika ini tidak akan menjejaskan bekalan mana-mana barangan keperluan harian.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini keadaan adalah terkawal dan isu-isu membabitkan bekalan barangan termasuk gula seperti yang dilaporkan berlaku di negeri Pantai Timur sebelum ini juga telah diselesaikan.

“Setakat ini tidak ada (bekalan barangan yang terjejas akibat cuaca panas), masih lagi dalam kawalan, yang lain tidak berlaku. Di Kedah ini saya difahamkan tidak ada isu kekurangan gula dan tidak ada isu tentang air mineral, jadi saya harap perkara ini dapat kita kekalkan.

Walau bagaimanapun dalam mendepani isu gula ini KPDN akan bertindak lebih proaktif dalam kita membuat perancangan awal dan libat urus yang lebih kerap supaya tidak berlaku krisis bekalan gula dalam negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan cawangan pasar raya TF Value-Mart Sungai Lalang di sini hari ini.

Menurutnya, pihak kementerian sentiasa memantau keadaan pasaran dan akan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi.

Mengulas mengenai insentif kepada peniaga makanan yang menawarkan Menu Rahmah, Salahuddin berkata perkara itu akan ditentukan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Pihak KPDN telah mengadakan libat urus sekali dan kita akan mengadakan libat urus dua atau tiga kali lagi supaya kita dapat jelaskan dan bentangkan apakah pakej-pakej yang boleh membantu peniaga-peniaga yang menawarkan Menu Rahmah ini,” katanya.

Pada majlis itu, Salahuddin turut melancarkan inisiatif Payung Rahmah bersama TF Value-Mart di mana semua 44 cawangan pasar raya itu seluruh negara akan menawarkan lebih 1,000 barangan pada potongan harga sekurang-kurangannya 10 peratus daripada harga biasa.

“Jadi harga Rahmah ini diharap akan berpanjangan sampai hujung tahun. Inilah cara untuk kita terus berusaha dan merupakan inisiatif pihak kerajaan melalui kerajaan MADANI, KPDN juga akan terus melakukan libat urus dengan pemain industri sektor peruncitan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :