Antara siri kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto Grafik Selangorkini
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dalami kitab al-Ghazali, ulama yang teliti lagi kritis

Al-Ghazali ilmuan ulung pemikiran Islam yang dikenali di serata dunia. Karyanya dalam bidang tasawuf dan falsafah bukan hanya menjadi rujukan umat tetapi dipelajari dunia Barat.

Selain Ihya Ulumuddin, atau menghidupkan ilmu-ilmu agama, diakui karya agung beliau, kitab Tahafut al-Falasifah terus mencetuskan polemik tentang filsafat dalam dunia Islam.

Apa berlaku dalam hidup Abu Hamid Muhammad ibnu Muhammad al-Ghazali sehingga mampu mencerakinkan hujah-hujah yang sehingga kini mempengaruhi pemikir Islam dan Barat?

Perihal itu dinukilkan sejarawan William Montgomery Watt menerusi bukunya, Muslim Intellectual: A study of al-Ghazali terbitan 1963 yang diterjemahkan melalui geran Kerajaan Negeri.

Profesor Universiti Edinburgh itu, sepanjang hayatnya mempromosikan hidup toleransi antara agama, sering dikenali melalui buku Muhammad at Mecca (1953), Muhammad at Medina (1956) dan Muhammad Prophet and Statesman (1961).

Antara siri kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto SELANGORKINI

Naskhah terjemahan Watt yang diusahakan bawah Siri Pencerahan Selangor oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan judul Imam al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung.

Karya terjemahan riwayat hidup al-Ghazali itu, dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd, dijangka mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur antara 26 Mei hingga 4 Jun.

Pengarah IBDE Farhan Affandi mengakui hampir tiada buku dalam bahasa Melayu berkisar kehidupan al-Ghazali pernah diterbitkan. Justeru pihaknya memilih karya Watt kerana beliau sarjana sejarah yang cukup mengenali karya al-Ghazali.

“Buku ini dipilih mengisi kekosongan itu. Karya Watt menarik kerana pengarangnya memberi tumpuan kepada riwayat kecendekiawanan al-Ghazali,” katanya kepada Selangorkini.

Teliti dan kritis

Mengambil masa lima bulan menyiapkan edisi bahasa Melayu, penterjemahnya Abdullah Hussaini memaklumkan karya itu menggambarkan al-Ghazali sebagai seorang ulama yang teliti, kritis dan sederhana.

“Sikap dan sifat beliau seharusnya dicontohi kita semua, baik sebagai penuntut ilmu, pengajar, pemerintah mahupun orang awam,” katanya, dengan menambah terjemahan buku itu dianggap edisi paling lengkap melalui bantuan ahli keluarga Watt.

“Watt ada menyenaraikan pembetulan buku ini sebelum beliau meninggal dunia. Semuanya kami kemas kini ke dalam edisi terjemahan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, IBDE juga rancak menterjemah Ihya Ulumuddin sejak awal tahun ini. Dijangka selesai dalam tiga hingga empat tahun, 20 jilid naskhah berbahasa Melayu itu diterjemah daripada 10 jilid teks Arab.

Usaha terjemahan Kitab Al-Ilmi (bab 1 Ihya Ulumuddin) oleh Zahid M Naser dan Hilmi Marjunit dilakukan dengan teliti pada setiap perbahasan al-Ghazali dalam karya itu. Jilid pertama dijangka terbit pada Jun.

Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bagi menjulang karya hebat ini, Kerajaan Negeri menganjurkan Festival Turath Islami Selangor antara 20 hingga 25 Mei dengan menampilkan beberapa ulama dari luar negara, termasuk bekas mufti besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Program enam hari itu, yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 Mei, bertujuan menyemarak lagi minat orang ramai terhadap pemikiran al-Ghazali yang sudah bertapak di negara ini.

Program yang terbuka kepada orang ramai antaranya Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin, Sama’ (Pembacaan) Sifat Nabi Ihya’ Ulumuddin dan Ijazah Hadis Musalsal, serta Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah.

Mereka yang ingin menyertai Festival Turath Islami Selangor boleh merujuk semua program ini di laman www.turathislamiselangor.com

Sejak 2016, Kerajaan Negeri menyuntik sejumlah dana setiap tahun bagi menterjemah karya-karya penting dunia dalam pelbagai bidang termasuk Islam, sejarah, politik, falsafah, sastera dan seni.

Antara siri kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto SELANGORKINI

Dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, dan kini Media Selangor, IBDE sebelum ini sudah menterjemah beberapa karya al-Ghazali antaranya Al-Mustasfa: Intipati Ilmu Usul Fiqh, Penyelamat daripada Kesesatan, Ciri Pemisah antara Islam dan Zindik, dan juga Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam.

Judul asal Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad ialah al-Iqtisad fi al-Iktiqad. Diterjemahkan Hilmi dan terbit pada 2018, karya ini mengulas berkenaan konsep kesederhanaan.

Al-Ghazali berpesan jangan mudah-mudah mengkafirkan orang lain atas perbezaan atau kesilapan memahami asas akidah Islam. Perbahasan lanjut perihal isu takfiri, yang sudah berkembang pada zamannya, ditemukan dalam Ciri Pemisah antara Islam dan Zindik.

Penyelamat Daripada Kesesatan merupakan terjemahan yang mendapat permintaan paling meluas yang membahaskan perihal keraguan, golongan pencari kebenaran, natijah falsafah dan bahaya mazhab ta’lim.

Buku terjemahan al-Ghazali

  • Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam
  • Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik
  • Al-Mustasfa: Intipati Ilmu Usul Fiqh
  • Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad
  • Penyelamat Daripada Kesesatan

Buku agama terjemahan IBDE

  • Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal – Martin Lings
  • Apa Itu Tasawuf? – Martin Lings
  • Islam di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat – Martin Van Bruinessen
  • Imam di Kota Paris: Kembara Seorang Imam
  • di Kota Paris – Rifa’a al-Tahtawi
  • Mencari Belerang Merah: Kisah Hidup Ibnu Arabi – Claude Addas
  • Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali & Pahlawan – Ahmad Bouyerdene
  • Islam dalam Politik dan Pendemokrasian
  • di Indonesia – Robert W Hefner
  • Huraian al-Aqaid al-Nasafiyyah – Sa’duddin al-Taftazani
  • Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya – Hamza Yusuf
  • Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama – Muhammad Hussein Haikal
  • Salahuddin al-Ayubi: Raja Penakluk – John Man
  • Manusia dan Alam Tabii: Kemelut Ruhani Manusia Moden – Seyyed Hossein Nasr
Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi (tengah) dan Ketua Pengarang IBDE Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (kanan) menunjukkan naskhah yang dijual di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :