Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim mengangkat sumpah jawatan di ibu pejabat MBSJ pada 3 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Datuk bandar baharu Subang Jaya angkat sumpah hari ini

SUBANG JAYA, 3 MEI: Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim mengangkat sumpah jawatan di ibu pejabat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini hari ini.

Bekas yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya itu turut menandatangani watikah pelantikan berkuat kuasa semalam di hadapan timbalannya Mohd Zulkurnain Che Ali sambil disaksikan ahli majlis.

Mohd Fauzi, 56, menggantikan penyandang terdahulu Dato’ Johary Anuar yang kini berkhidmat sebagai timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Tanah dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), beliau juga pernah berkhidmat sebagai yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang antara 2019 hingga 2020.

Anak kelahiran Terengganu itu turut pernah bertugas sebagai pegawai daerah Hulu Selangor antara 2015 hingga 2019 dan ketua penolong pegawai Daerah Gombak dari 2011 hingga 2015.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Universiti Sains Malaysia dan Diploma Pengurusan Awam INTAN itu juga pernah bertugas sebagai ketua penolong setiausaha Bahagian Korporat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Pengarang :