AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Drama Selalu Ada kesinambungan Senandung Aidilfitri, sarat mesej inisiatif Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 2 MEI: Drama Selalu Ada terbitan Kerajaan Negeri merupakan kesinambungan program Senandung Aidilfitri yang dihasilkan ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata pengisian drama yang bakal menemui penonton esok pada jam 9 malam di TV2 sarat dengan mesej berkaitan program Kerajaan Negeri.

Tangkap layar program Selamat Pagi Malaysia di TV1 di Facebook pada 2 Mei 2023 yang menemu bual EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkenaan Drama Selalu Ada terbitan Kerajaan Negeri

“Senandung Aidilfitri wujud pada 2020 dan 2021 ketika pandemik kerana rakyat tidak boleh keluar serta meraikannya. Kita buat rakaman secara tertutup dan disiarkan melalui Media Selangor (SelangorTv).

“Sambutan agak bagus sebab rakyat mempunyai masa terluang banyak. Jadi, untuk tahun ini kita ubah sedikit rancangan dan tukar kepada rancangan memberi dampak lebih tinggi dengan bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Senandung Aidilfitri lebih kepada sketsa dan hiburan tetapi kini kita tumpukan kepada drama dan lakonan membabitkan pelakon masyhur,” katanya menerusi program temubual Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini.

Barisan pelakon drama Selalu Ada menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 5 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Borhan yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat menjelaskan drama Selalu Ada bakal menjadi inspirasi kepada Kerajaan Negeri.

“Ini merupakan usaha pertama Kerajaan Selangor dan tidak ada negeri lain yang buat drama serta berlakon bersama pelakon-pelakon mempunyai nama-nama besar.

“Kita mahu sampaikan mesej setiap program Kerajaan Negeri dengan menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Erra Fazira, Syafie Naswip, Jalaluddin Hassan serta penampilan khas MB yang ‘sporting’ berlakon sebagai penjual daging.

“Insya-Allah, jika drama Selalu Ada ini berjaya kita boleh bekerjasama lagi pada masa akan datang,” katanya.

Drama Selalu Ada arahan Che Mie selama 45 minit itu mengisahkan cabaran yang ditempuhi tiga sahabat untuk melanjut pengajian ke menara gading.

Karya tersebut juga menyelitkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan negeri kepada segenap lapisan masyarakat berpendapatan rendah.

Sekitar penggambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.


Pengarang :