AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Drama Selalu Ada papar mesej bantuan negeri, tonton malam ini di TV2

SHAH ALAM, 3 MEI: Drama Selalu Ada yang mengetengahkan mesej kekeluargaan dan pelbagai bentuk bantuan disediakan pentadbiran negeri akan ditayangkan jam 9 malam ini di saluran TV2.

Karya terbitan Kerajaan Selangor arahan Che Mie itu menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Erra Fazira, Sophia Albarakbah, Syafie Naswip, Datuk Jalaluddin Hassan dan Kazar Saisi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah turut membuat penampilan khas dalam drama 45 minit yang dilakonkan di beberapa lokasi sekitar negeri.

Pada tahun lalu dan sebelumnya, Kerajaan Selangor menerbitkan program Senandung Aidilfitri yang menampilkan selebriti tanah air bagi mengisi sambutan raya berikutan dampak pandemik Covid-19.

Pelakon Syafie Naswip menjalani penggambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13, Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Borhan dalam temu bual bersama stesen televisyen tempatan semalam memaklumkan karya tersebut akan menerangkan secara umum berkenaan inisiatif yang ditawarkan negeri bermula daripada bayi.

“Kita tidak dapat masukkan semua dan menerusi drama ini, ada 20 inisiatif dikongsi serta selebihnya menerusi poster dan papan iklan pada babak-babak seperti di hentian bas,” katanya.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.


Pengarang :