Fatimah Umar dan suami Ahmad Muhalid Mohd Zawawi bersama-sama menguruskan pusat cucian mereka di Cik Tim Chuchee, Rawang pada 17 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Duit dari debu, suami isteri bangkit keluar dari asnaf

Kencing manis dan sakit tulang belakang meragut keupayaan Ahmad Muhalid Mohd Zawawi, 44, untuk bekerja.

Penyakit berkenaan menyebabkan beliau terpaksa berhenti kerja sebagai operator pengeluaran di kilang automotif terkenal pada 2017.

Fatimah Umar menunjukkan keadaan kaki suaminya Ahmad Muhalid Mohd Zawawi ketika temu bual bersama pengusaha pusat cucian dan juga usahawan bekas asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Cik Tim Chuchee, Rawang pada 17 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ahmad Muhalid memperoleh pampasan RM40,000 daripada bekas majikan selepas meletak jawatan. Namun, semuanya habis untuk melunas hutang kecuali pinjaman perumahan dan pembiayaan rawatan. Hanya sedikit dijadikan modal berniaga.

Dia menjual nasi lemak kecil-kecilan dan mengutip tin aluminium sambil membantu isteri, Fatimah Umar, 44, yang masih bekerja di syarikat swasta.

Kesempitan hidup mendorong pasangan itu memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada 2018. Mereka diberi bantuan sara hidup RM650 sebulan.

Lantaran kerap mengambil cuti mengurus suami mendapatkan rawatan hospital, wanita lima anak itu akhirnya meletak jawatan pada tahun itu.

Mula khidmat cucian

Selepas berhenti, pasangan berkenaan berniaga nasi berlauk yang dihantar ke pejabat-pejabat. Namun kekurangan ilmu pengurusan menyebabkan perniagaan tidak bertahan lama.

Fatimah Umar memukul karpet yang telah di keringkan menggunakan kayu bagi memastikan tiada lagi habuk dan debu dan karpet benar-benar bersih di Cik Tim Chuchee, Rawang pada 17 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Masa ini kami betul-betul susah. Anak lima orang. Duit minyak kereta selalu terputus. Beli lampin keping-keping. Saudara mara ada tolong tetapi sampai bila?

“Jiran warga Indonesia cadangkan buat pembersihan rumah. Mula-mula rasa tidak masuk akal tetapi sebab sudah terdesak, kami cuba juga.

“Saya beli penyapu, pengelap lantai, baldi dan penyedut hampagas terpakai berharga RM80. Suami tak sihat tetapi ikut juga tolong buat kerja ringan seperti mengelap cermin tingkap,” kata Fatimah ketika ditemui di Rawang, Hulu Selangor pada 17 Februari.

Mengenakan bayaran RM150, mereka menerima tiga hingga empat tempahan sebulan sebelum meningkat kepada dua ke tiga kali seminggu.

Dalam beberapa bulan, permintaan perkhidmatan cucian rumah meningkat hingga hampir setiap hari hinggakan mereka mengambil beberapa pekerja sambilan.

Fatimah dan Ahmad Muhalid lega apabila pendapatan mencuci rumah dicampur bantuan zakat mencecah RM2,500 sebulan.

Akhir 2019, pasangan itu menyewa kedai untuk mengembangkan perniagaan dengan memperkenal perkhidmatan mencuci permaidani.

Selepas beberapa bulan berniaga di kedai, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada Mac 2020. Sekali lagi pasangan ini diuji. Perniagaan tidak boleh beroperasi, sekali gus hilang pendapatan.

Akibatnya, pangsapuri mereka dilelong dan keluarga berkenaan terpaksa menetap di kedai sewa. Pada masa sama, kaki Ahmad Muhalid terpaksa dipotong bagi mengawal penyakit kencing manisnya yang semakin kronik.

Ketika itu, Fatimah menjual karipap sejuk beku bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Bantuan Teras

Apabila PKP dilonggarkan pada 2021, Fatimah memohon bantuan perniagaan Teraju Ekonomi Asnaf (Teras). Dia memperoleh lima peralatan mencuci berkuasa tinggi dan mengubah suai kedai dengan kos RM27,000.

Fatimah Umar menyerahkan karpet pelanggan yang telah siap di cuci di Cik Tim Chuchee, Rawang pada 17 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Teras juga memberi pelbagai kursus perniagaan seperti teknik mengiklan dan merancang kewangan kepada Fatimah.

Berbekal ilmu dan kerja keras, perniagaan perkhidmatan mencuci rumah dan permaidani mendapat sambutan.

Bukan sekadar pelanggan kediaman, perniagaan mereka mampu memenuhi permintaan mencuci premis syarikat besar seperti pejabat dan kilang yang memerlukan penggunaan kren untuk mencuci cermin di tingkat tinggi.

Awal 2022, Fatimah dan Ahmad Muhalid keluar daripada senarai asnaf.

Ketika ini, pasangan itu mempunyai tujuh pekerja. Hasil kasar perniagaan meraih RM35,000 hingga RM40,000 sebulan. Mereka juga dalam proses membeli kedai yang disewa dengan harga RM250,000.

Menerima anugerah Ikon Usahawan Asnaf Teras dan anugerah Ketua Pegawai Ekesekutif LZS, Fatimah sering dijemput berceramah di pelbagai agensi termasuk pusat zakat luar Selangor dan institusi pengajian tinggi tempatan.

Fatimah Umar menunjukkan keadaan bersama suami Ahmad Muhalid Mohd Zawawi menunjukkan cek cura, pingat serta sijil yang diterima ketika temu bual bersama pengusaha pusat cucian dan juga usahawan bekas asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Cik Tim Chuchee, Rawang pada 17 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :