KUALA SELANGOR, 28 MEI: Buat julung kalinya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyediakan perkhidmatan klinik bergerak di Taman Senangin, Sungai Buloh di sini.
Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata program dengan kerjasama Poliklinik Sri Prima itu menawakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat.
“Ini pertama kali kita bekerjasama dengan Poliklinik Sri Prima kerana mereka ada bas yang menjadi tempat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Ia juga sejajar dengan usaha kita untuk mendekati masyarakat kerana objektif Kerajaan Negeri adalah mewujudkan rakyat yang sihat.
“Selepas ini, kita sasar anjur di lokasi tumpuan awam termasuk di di kampung-kampung tradisi. Kita mahu mengurangkan beban golongan B40 yang mahu menyemak tahap kesihatan masing-masing,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Antara pemeriksaan kesihatan yang disediakan adalah pemeriksaan sakit kronik, sakit mental, ujian elektrokardiogram (ECG) dan saringan kesihatan wanita.
Program dengan usahasama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) itu diadakan bermula jam 8 pagi hingga 1 tengahari.

