Keadaan di sekitar Empangan Semenyih yang merupakan empangan utama di Lembah Klang. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

El Nino: Empangan di Selangor mampu bertahan hingga enam bulan

PETALING JAYA, 13 MEI: Semua empangan di Selangor mampu bertahan sehingga enam bulan walaupun negeri ketika ini berdepan cuaca panas dan fenomena El Nino yang diramal pada bulan hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan tahap kapasiti maksimum yang direkodkan di setiap empangan dan kolam takungan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Petaling Jaya di Seksyen 1, Petaling Jaya pada 13 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya baru semalam bertanya kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenai paras air dan kolam takungan kita yang dipantau setiap masa.

“Setakat ini saya dimaklumkan kita mampu bertahan sehingga enam bulan kalau tiada air atau hujan yang sedikit,” katanya selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Petaling Jaya di Seksyen 1 di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Petaling Jaya sambil diperhatikan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung (kiri) di Seksyen 1, Petaling Jaya pada 13 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, LUAS melakukan pemantauan setiap masa dan memaklumkan jika berlaku sebarang perubahan membabitkan hal bekalan air di Selangor.

“Saya yakin menjelang September dan Oktober, hujan akan mula kembali banyak. Ia akan memastikan kadar empangan kita kembali baik. Tapi, kita akan tetap pantau setiap masa,” katanya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini menyenaraikan Selangor bersama tujuh negeri lain, dijangka mudah dipengaruhi fenomena El Nino berdasarkan pengalaman antara 2015 hingga 2016.

Menurut suruhanjaya itu, negeri lain yang mungkin mengalami cuaca kering dan panas melampau mulai Jun termasuklah Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laporannya menjangka kebarangkalian berlaku El Nino sekitar 57 peratus antara Jun hingga September dan meningkat kepada 62 peratus (September hingga November).


Pengarang :