Orang ramai menghadiri majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

EXCO: Jelajah rumah terbuka gambaran kemakmuran negeri, ukhuwah rakyat

KUALA LANGAT, 8 MEI: Penganjuran Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di setiap daerah antara usaha pemimpin negeri mendekati rakyat selain memperkenalkan pelbagai inisitif kebajikan yang dilaksanakan.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata program rumah terbuka di beberapa daerah sebelum ini yang dihadiri puluhan ribu pengunjung turut mengambarkan kemakmuran rakyat negeri ini.

“Sebelum ini kita buat (sambutan) Aidilfitri untuk satu tempat saja contohnya di Shah Alam tetapi tahun lepas Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) memberi idea baharu dengan jelajah ke sembilan daerah.

“Kita lihat pengunjung pun lebih ramai, kalau setiap daerah kira-kira 10,000 orang hadir. Jadi, ia lebih memberikan kesan apabila puluhan ribu rakyat hadir.

“Ini menunjukkan usaha yang baik dan masyarakat lebih mudah datang. Contohnya kalau buat di Shah Alam (sahaja) mungkin masyarakat dari Sabak Bernam jauh untuk datang, tapi kalau kita turun ke daerah, mereka dapat bersama hadir,” katanya ketika ditemui di JKSA daerah Kuala Langat di tapak pasar malam, Taman Perwira Sijangkang malam tadi.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berucap ketika majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelajah daerah Kuala Langat berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 10,000 penduduk yang dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah tradisi seperti lemang, rendang, punten (makanan tradisi masyarakat Jawa), kambing bakar, pecal, apam balik dan air balang.

“Ini membuktikan bahawa hasil yang kita pungut daripda rakyat kita kembalikan kepada rakyat. Pengunjung yang datang bukan saja Melayu tetapi India, Cina dan orang Asli datang bersama meraikan. Ini adalah ukhuwah rakyat untuk besama-sama merasai suasana.

“Jadi ini buktikan kerajaan sentiasa prihatin kepada masyarakat dan daripada apa yang kita dapat kita sumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Program yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April telah berlangsung di Sepang, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat dan Petaling.

Rumah terbuka negeri diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei, diikuti Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Orang ramai menghadiri majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :