Peserta bergambar sebelum pelepasan Larian Perpaduan Malaysia Madani peringkat Selangor 2023 di Taman Tasik Shah Alam pada 27 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Perpaduan kaum aset paling berharga, tolak pihak suka adu domba

SHAH ALAM, 27 MEI: Nilai perpaduan yang dinikmati masyarakat berbilang kaum di Selangor menjadi aset paling berharga serta asas kepada kemajuan negeri.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah berkata nilai tersebut perlu sentiasa dipelihara bagi mengelakkan ia diganggu oleh pihak yang mahu menyemarak api perkauman.

“Selangor merupakan sebuah negeri yang ada pelbagai kaum. Semua etnik ada di sini dan ia diibarat seperti sebuah ‘Malaysia kecil’.

“Sebab itu kita kena jaga perpaduan yang ada. Kita tolak mereka yang mahu mainkan isu perkauman kerana perpaduan ini adalah kekuatan kita, bukan kelemahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri di Taman Tasik Shah Alam di sini hari ini.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kanan) melepaskan peserta larian Perpaduan Malaysia Madani peringkat Selangor 2023 di Taman Tasik Shah Alam pada 27 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kira-kira 5,000 pengunjung hadir seawal jam 7 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan seperti larian perpaduan, persembahan kebudayaan, piknik perpaduan dan sebagainya.

Sambutan bertemakan Perpaduan dalam Kepelbagaian’ itu akan diteruskan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi esok, dengan pelbagai pengisian menarik.

Sambutan Minggu Perpaduan merupakan salah satu inisiatif di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, yang akan disambut di seluruh negara pada minggu terakhir bulan Mei setiap tahun.

Minggu Perpaduan 2023, yang berlangsung dari 20 hingga 28 Mei, turut diadakan di 15 lokasi antaranya Dataran Bertam di Pulau Pinang, Dewan Masyarakat Papar di Sabah, dan Dataran Tasik Kluang di Johor.

Peserta golongan orang kurang upaya (OKU) bergambar sebelum pelepasan Larian Perpaduan Malaysia Madani peringkat Selangor 2023 di Taman Tasik Shah Alam pada 27 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :